Rabu, 18 Julai 2012

Kisah 3 Soalan

Alkisahnya, ada seorang lelaki namanya Jamie. Adapun nama sebenarnya ialah Jamaluddin. Tetapi, 4 tahun dia berkelana di negara orang, dia lebih senang memperkenalkan dirinya as Jamie. Al maklumlah nama tu ada unsur2 omputih sikitlah katakan....

Si Jamie berada di US selama 4 tahun kerana melanjutkan pelajarannya di sana dalam jurusan engineer. Setelah tamat pengajian, dia kembali ke Malaysia atas desakan ibu bapa Jamie. Adapun kiranya, si Jamie tidak mahu pulang ke Malaysia, ingin bekerja di US, tetapi atas doa ibu bapanya saban malam mengharapkan kepulangan anaknya, akhirnya si Jamie ni pun pulanglah.

Ibu bapa Jamie amat risaukan anaknya yang telah jauh dari agama semenjak tinggal di US. Mungkin, pergaulan dengan rakan2 yang bukan seagama dengannya, menjadikan si Jamie makin lama makin jauh dengan agama Islam.  Sebab itulah ibu bapa Jamie mendesak Jamie supaya pulang ke tanah air.

Maka, si Jamie pun pulanglah ke Malaysia. Benarlah, si Jamie seakan-akan sudah lupa akan agama asalnya. Tidak tahu mengucap, tidak tahu solat. Astaghfirullah..... Ibu bapa Jamie mengambil keputusan untuk memanggil seorang ustaz mengajar anaknya tentang rukan Islam yang perlu Jamie ketahui.

Si Jamie memberi syarat kepada ibu bapanya. Sekiranya ustaz tersebut berjaya menjawab 3 soalan yang akan dikemukannya dan jawapan yang diberikan memuaskan hatinya, maka dia bersetuju untuk belajar dengan ustaz tersebut. Ibu bapanya tidak dapat berbuat apa-apa melainkan bersetuju dengan syarat anaknya.

Seorang demi seorang ustaz yang datang ke rumah mereka tidak berjaya menjawab soalan yang ditanya oleh Jamie. Ibu bapa berasa kecewa dengan sikap Jamie yang degil itu. Mereka berharap doa mereka akan makbul supaya anaknya kembali ke pangkal jalan. 

Sehingga akhirnya, ibu bapa Jamie bertemu dengan seorang ustaz yang baru sahaja balik dari melanjutkan pelajaran dari Universiti Al-Azhar. Kebetulan ustaz tersebut, Zulkifli namanya adalah anak kepada kawannya. Maka diceritakanlah masalah yang dihadapi oleh mereka. Ustaz Zulkifli menyatakan yang dia akan cuba sedaya upaya untuk membantu.

Jadi, pada suatu hari, Ustaz Zulkifli pun datanglah ke rumah Jamie. Seperti biasa, Jamie bertanyakan 3 soalan yang menjadi syarat untuk dia belajar agama dengan ustaz tersebut.

"Ustaz, sebelum saya belajar dengan ustaz, saya ada 3 soalan. Sekiranya jawapan ustaz dapat memuaskan hati saya, saya berjanji, saya akan belajar dengan ustaz bersungguh-sungguh.."

"Baiklah, Insya Allah, saya akan cuba menjawab soalan tersebut sebaik mungkin. Apakah soalannya?"

Si Jamie pun mengemukakan 3 soalan yang menjadi tanda tanya selama ini.

Soalan pertama: "Kita yakin Allah itu ada. Tetapi, kenapa kita tidak dapat melihatNya? Sekiranya kita tidak dapat melihatNya, bagaimana kita boleh yakin yang Allah itu ada?"

Soalan kedua: "Apakah yang dimaksudkan takdir?"

Soalan ketiga: "Pada hari akhirat nanti, semua syaitan akan dimasukkan ke dalam neraka. Bagaimana syaitan dapat merasai kesakitan panas api neraka sedangkan mereka sendiri di buat daripada api?"

Selesai sahaja Jamie bertanya soalan itu kepada Ustaz Zulkifli, dengan tidak semena-mena ustaz menampar pipi Jamie. Jamie terkedu sambil memegang pipinya yang sakit ditampar ustaz.

"Tamparan saya tadi menjawab ketiga-tiga soalan kamu tadi..."

Jawapan pertama: "Adakah anda merasa sakit apabila saya menampar pipi kamu tadi?" Jamie mengangguk. "Bolehkah kamu menunjukkan rasa sakit itu kepada saya?" Jamie menggeleng. "Kamu budak pandai, kamu tafsir sendiri dan kaitkan dengan soalan kamu tadi..."

Jawapan kedua: "Adakah kamu akan tahu yang saya akan menampar kamu sebentar tadi?" Jamie menggeleng. "Itulah yang dinamakan takdir".

Jawapan ketiga: "Kulit tapak tangan saya dibuat daripada apa?" Tanah, jawab Jamie. "Kulit pipi kamu dibuat daripada apa?" Tanah juga, jawab Jamie. Tangan saya dan pipi kamu diperbuat daripada tanah, tetapi kamu tetap berasa sakit apabila saya menampar kamu. Begitu juga dengan syaitan yang dibuat daripada api akan merasai kesakitan apabila dimasukkan ke api neraka. Semua itu dari kuasa Allah swt."

Jamie amat berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Ustaz Zulkifli. Dia meminta maaf dengan kedua ibu bapanya. Akhirnya, Jamie belajar kembali ilmu agama Islam yang ditinggalkan dahulu. Dia akhirnya menjadi seorang anak yang soleh.

Moral: Doa ibu bapa untuk anak2nya akan dimakbulkan Allah. Berdoalah supaya anak-anak kita akan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.


P/S: Cerita ini diolah semula oleh penulis supaya lebih menarik. Yang baik datang dari Allah dan yang buruk itu dari kelemahan saya sendiri... Wallahualam.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Memuliakan Ibu Bapa

Assalamualaikum.... Entry kali ni diterbitkan khas untuk Program LaDap Nurani setiap Jumaat oleh Jemaah Nazir WPKL. Jadi, kali ni gili...